Minggu lepas ketika saya memberi ceramah kekayaan di sebuat intitusi pengajian tinggi dan satu soalan yang diajukan oleh pelajar kepada saya adalah “En Irfan Khairi, apakah yang dilakukan dengan sejuta ringgit pertama yang diperolehi?”
Teringat saya lebih 10 tahun lalu bila pendapatan perniagaan Internet saya mencecah RM1,000,000. Untuk memperolehi untung sebegitu bukannya mudah, dan mengambil masa lebih 2 tahun juga. Oleh kerana mengenangkan masa dan tenaga yang telah dilaburkan untuk mencapai keuntungan sebegitu adalah tinggi, amat sukar untuk saya belanjakan secara boros.
Walaubagaimanapun, jawapan kepada soalan yang diajukan oleh pelajar tersebut dapat menjelaskan prinsip kewangan yang amat penting. Jawapan saya, “Saya membeli sebuah kereta tempatan kecil dan sebuah apartment kecil secara tunai”
Mengapa yang kecil sahaja dan tidak yang besar? Itulah silapnya ramai usahawan kita. Bila mendapat durian runtuh, terus membeli kereta mewah dan rumah yang indah. Pastinya, membeli secara berhutang dengan bayaran ansuran bank bulanan yang tinggi. Yang penting, standard mesti kena jaga supaya orang lihat kita nampak gah!
Tetapi, berkali-kali saya terdengar kisah usahawan yang hutang keliling pinggang oleh kerana ingin tampil hebat cuma, apabila perniagaan gagal, kereta kena tarik, rumah kena lelong.
Amat penting untuk kita melindungi diri kita terlebih dahulu. Mengapa saya membeli kereta kecil dan apartment kecil? Oleh kerana ingin melindungi diri dan keluarga sekiranya rezeki tidak berpihak pada diri saya, dan perniagaan gagal, sekurang-kurangnya sudah ada kereta dan rumah- walaupun kecil!
Prinsip kewangan yang disebutkan adalah untuk melindungi diri kita daripada apa jua kecemasan yang mungkin berlaku. Dalam hidup, malang tidak berbau. Berbagai-bagai perkara boleh terjadi yang akan mengakibatkan masalah kewangan. Tugas kita yang pertama sekali adalah melindungi diri kita.
Pastikan kita mempunyai simpanan kecemasan yang boleh digunakan sekiranya sesuatu terjadi. Berapa banyakkah simpanan kecemasan yang diperlukan? Jawapannya adalah, hitung perbelanjaan bulanan anda, dan gandakan dengan 6. Angka tersebut adalah simpanan kecemasan minima yang perlu anda miliki. Sekiranya perbelanjaan bulanan anda adalah RM1,300, maka simpanan kecemasan anda perlu ada adalah sekurang-kurangnya RM7,800.
Berapakah jumlah simpanan kecemasan anda kini? Sekiranya tidak mencapai 6 bulan perbelanjaan anda, anda adalah dalam keadaan yang amat merbahaya!
Mula menyimpan untuk tabung simpanan kecemasan bukanlah perkara yang mudah terutamanya bagi mereka yang belum memulakan.Ia memerlukan perubahan mindset dan tabiat berbelanja. Namun satu cara untuk membantu dalam mengetepikan sejumlah wang pendapatan anda untuk disimpan ke dalam tabung kecemasan adalah dengan cara automasi.
Setiap bulan, lakukan arahan automatic pada bank anda untuk memindahkan sejumlah wang sekurang-kurangnya 10% pendapatan anda ke akaun yang berasingan. Dengan melakukan arahan automatic setiap bulan ini, kita tidak akan terlupa menyimpan serta akan mengubah tabiat belanja kita dengan hanya membelanjakan baki 90% daripada pendapatan. Simpanan dalam akaun kecemasan kita jangan disentuh pula sehingga terdapatnya kecemasan! Harapannya, waktu itu tidak akan tiba.
Amat penting melindungi diri kita sendiri terlebih dahulu dari segi kewangan, oleh kerana jika bukan kita, siapa lagi yang akan melindungi kita sekiranya terdapat kecemasan?
Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi diwww.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!
Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi diwww.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!
Azreen Arshad, SegamatSaya tidak akan terlepas kolum Irfan Khairi setiap minggu di Majalah Metro untuk membaiki kewangan saya. Soalan saya, yang mana perlu saya dahulukan- menyimpan untuk kecemasan, atau membayar baki kad kredit saya yang kini agak tinggi ?
Pastinya membayar baki kad kredit anda perlu didahulukan. Ini kerana, interest yang dikenakan oleh kad kredit adalah agak tinggi berbanding dengan interest yang mungkin anda terima dari simpanan anda. Apa gunanya menyimpan sekiranya bayaran interest yang anda perlu bayar pada kad kredit adalah 18% sedangkan interest yang anda terima dari simpanan anda adalah 4%?
Anda sebenarnya dalam kerugian selagi baki kad kredit tidak dijelaskan. Walaupun anda akan rasa lega apabila melihat baki simpanan anda yang meningkat, tetapi perlu diingat bahawa itu tidak dikira sebagai wang kecemasan oleh kerana anda tetap berhutang pada kad kredit yang perlu dilangsaikan dengan cepat sebelum interest menambahkannya. Utamakan bayaran kad kredit terlebih dahulu sebelum menyimpan untuk kecemasan.
Mohd Salleh, PuchongSaya ingin berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Apakah nasihat bro Irfan Khairi ?
Nasihat pertama, sebelum berhenti kerja dan memulakan perniagaan, pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya wang simpanan untuk menanggung anda dan keluarga selama 6 bulan. Kedua, lakukan penyelidikan atas perniagaan dan pasaran anda. Hadis mengatakan 9/10 rezeki datangnya dalam perniagaan, tetapi, hakikatnya, 9/10 perniagaan gagal. Bukan hendak menakutkan anda, tetapi, sekadar ingin anda bersiap sedia dari segi semangat, ilmu dan motivasi untuk memulakan perniagaan.
Dalami ilmu perniagaan anda dengan banyak membaca, bertanya dan menghadiri kursus-kursus yang berkaitan dengan perniagaan anda. Lebih banyak ilmu yang anda miliki, maka lebih mudah untuk anda mencapai rezeki 9/10 dalam perniagaan itu!
@irfankhairi.com/blog
No comments:
Post a Comment