Ramai yang gagal dalam kewangan bukan kerana tidak tahu cara menyimpan, atau tidak tahu cara menjana pendapatan tambahan, tetapi oleh kerana tidak konsisten dengan usaha memperbaiki keadaan kewangan mereka.
Beberapa bulan lepas saya terjumpa seorang sahabat lama saya. Keluhnya “Irfan, aku menyesal sebab tak melabur duit macam kau sejak di universiti lagi. Ni dah 20 tahun kemdian, simpanan aku ciput je..”. Balas saya “Why not kau mula melabur sekarang. Labur la dalam RM500 tiap-tiap bulan”. “ok… ok” jawabnya.
Baru-baru ini, saya terserempak kembali dengannya dan selepas bersembang, saya pun bertanyakan tentang usaha pelaburannya. “So amacam? Dah mula melabur RM500 sebulan?”. Jawabnya pula “Belum lagi. Hujung tahun dah dekat. Aku nak jadikan 2013 tahun mula menyimpan dan melabur. Tu azam baru 2013!” katanya dengan penuh semangat.
Saya pun tak tahu nak cakap apa lagi. Keadaannya yang menyesal kerana tidak mulakan pelaburan sejak 20 tahun dulu, kini pula menunda usaha menyimpan dan melabur untuk beberapa bulan lagi kerana nak tunggu ‘azam baru 2013’.
Berat saya nak kata, orang sebegini, susah untuk berjaya dalam kewangan. Pertama, tidak sedar pentingnya menjaga kewangan, dan kedua, melengahkan masa untuk mengawal kewangan. Sekiranya ingin menjaga kewangan, tiada alas an lagi perlu diberikan. Masanya adalah sekarang!
Tiada guna tunggu waktu yang sesuai, atau tunggu waktu yang sempurna untuk kita mula memikirkan dan mengambil langkah menjaga kewangan kita selain sekarang.
Minggu lepas saya telah kongsikan mengenai pentingnya “masa” dalam melipatkali gandakan pendapatan kita melalui pelaburan melalui pulangan kompaun (Compound Interest). Kali ini pula saya ingin perkenalkan dengan konsep Pemurataan Kos Ringgit (Ringgit Cost Averaging).
Walaupun bunyinya agak rumit, tetapi maksudnya adalah mudah. Pemurataan Kos Ringgit adalah strategi pelaburan di mana kita melaburkan sejumlah wang secara konsisten setiap bulan. Ertinya, tidak kira sekiranya waktu pulangan pelaburan tinggi, atau rendah, setiap bulan kita teruskan secara konsisten menyimpan sejumlah wang yang tetap, contohnya RM500.
Strategi pelaburan sebegini adalah efektif kerana, kita tidak dapat meramal bagaimana pulangan pelaburan setiap bulan – ada yang turun, ada juga yang naik.Tetapi, dengan menyimpan dan melabur secara konsisten setiap bulan, ia seakan memuratakan risiko pelaburan kita. Kita akan mendapat manfaat pulangan jangka panjang, disamping mengurangkan risiko jangka masa pendek.
Konsisten dalam perihal kewangan kita adalah kunci kepada kekayaan pada masa hadapan. Ramai yang gagal, adalah kerana tidak konsisten. Namun, konsisten dalam simpanan, pelaburan, menjana pendapatan memerlukan disiplin.
Dua strategi mudah pulangan kompaun, dan juga pemurataan kos ringgit sahaja dapat membantu diri kita menjadi bebas kewangan pada satu hari nanti. Dan keduanya memerlukan kita tidak melengah-lengahkan lagi masa untuk menjadi kaya. Lakukan sekarang sebelum sehari menjadi seminggu, seminggu menjadi sebulan, sebulan menjadi setahun dan sedar tak sedar, bertahun-tahun terlepas tanpa kita mula langkah menjaga kewangan kita! – Wang anda, kuasa anda! ~Irfan Khairi
Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!
Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!
Asylana, Seri Kembangan:Saya kini telah bekerja dan baru mendirikan rumah tangga. Nasihat Irfan Khairi untuk menyimpan dan melabur wang selama 20 tahun tanpa menyentuhnya, agak sukar dilakukan, tambahan, hendak membayar bil dan perbelanjaan harian pun cukup-cukup duit sahaja.
Saya faham keadaan ramai antara kita hari ini, wang yang ada hanya cukup-cukup makan. Sampai hujung bulan, kebanyakan dariapda wang kita sudah habis dibelanjakan. Tetapi cuba anda fikirkan. Sekiranya anda tidak mula menyimpan dan melabur sekarang, bagaimana keadaan anda apabila anda pencen kelak? Atau terdapat sebarang kemalangan yang membuatkan anda tidak dapat bekerja? Bagaimana pula dengan keluarga anda dan anak-anak anda?
Naishat jujur saya adalah, anda perlu melakukan apa sahaja supaya keadaan kewangan anda dan keluarga terjaga sebelum terlewat. Cari jalan untuk menambahkan pendapatan anda, mungkin melalui permintaan kenaikan gaji sekiranya anda rasakan diri anda layak, atau memulakan karier ditempat lain yang boleh memberi lebih banyak ruangan untuk anda menyimpan. Anda juga boleh memulakan perniagaan sambilan untuk menjana pendapatan, di samping itu, cari peluang berjimat dan kurangkan perbelanjaan – sama ada mengurangkan belanja rokok, the tarik, hiburan dan apa sahaja.
Sekiranya anda tidak melakukan sesuatu sekarang, anda akan dalam keadaan yang lebih teruk satu hari nanti!
Qistina Aziz, Kuantan:
Saya telah melabur sejumlah wang 4 tahun yang lalu di dalam sejenis skim pelaburan. Hari ini, pelaburan tersebut kerugian lebih 30%. Saya kurang yakin dan saya tidak mahu menjualnya sehingga pelaburan tersebut naik kembali dan saya mendapat balik modal asal saya. Apakah nasihat Irfan?
Sekiranya hari ini, pelaburan tersebut diumumkan, dengan rekod kejatuhan 30% sejak 4 tahun lalu, dan anda belum lagi melabur, adakah anda akan keluarkan wang anda untuk melabur pada syarikat tersebut?
Saya pasti jawpannya adalah tidak bukan? Anda tidak akan melabur pada syarikat tersebut. Tetapi, mengapa pula, apabila pelaburan itu jatuh, anda ingin terus menunggu dan membiarkan wang anda di situ?
Keputusan yang anda lakukan adalah berasakan emosi di mana anda rasa “sayang” atau “takut rugi” bila tidak mendapat pulangan wang anda. Nasihat saya, jangan asaskan keputusan anda pada emosi. Lakukan penyelidikan atas syarikat dan pelaburan tersebut. Sebenarnya, dalam pelaburan yang berisiko, anda perlu sering melihat prestasinya sekurang-kurangnya dua kali setahun. Bukan maksud saya setiap kali anda melabur, dan mengalami kerugian, anda perlu keluarkan wang anda dan beredar. Maksud saya adalah tidak meletakkan keputusan pelaburan anda pada emosi, tetapi lebih kepada fakta dan penyelidikan. Adakalanya, pelaburan yang kita lakukan adalah pelaburan yang tidak baik. Maka, harus kita mengakuinya dan teruskan melabur di tempat yang lebih meyakinkan kita.
@irfankhairi.com/blog
No comments:
Post a Comment