
Sebenarnya, Islam tidak pernah melarang untuk mencari harta kekayaan, tetapi amat menggalakkan agar kita terus berusaha gigih selagi tidak mengabaikan suruhan dan larangannya.
Artikel kali ini memaparkan kisah mengenai Anas bin Malik r.a. untuk mengajak para pembaca mengenali dan mengetahui keperibadian tokoh besar ini. Anas bin Malik r.a. merupakan anak didik kesayangan Nabi dan merupakan periwayat Hadis Rasulullah s.a.w. Pada masa yang sama, beliau juga dikatakan salah seorang hartawan yang terkaya di Madinah.
Nasab beliau
Nama sebenar beliau adalah Anas bin Malik bin Nadzor bin Dhomdom bin Zaid bin Harom bin Jundub bin Amir bin Ghanam bin Adi bin An Najjar, Abu Hamzah Al Ansori Al Khazraji. Beliau adalah kerabat baginda Rasulullah s.a.w. dari sebelah isterinya, selain daripada murid serta pengikut baginda Rasulullah s.a.w. dan juga merupakan sahabat terakhir yang meninggal dunia.
Anas adalah pambantu Nabi dan seorang yang banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. Ibunya ialah Ummu Sulaim Malikah binti Milhan bin Kholid bin Zaid bin Harom, isteri Abi Tholhah Zaid bin Sahl Al Ansori. Sewaktu Nabi s.a.w. datang ke Madinah, Anas ketika itu baru berusia 10 tahun. Waktu itu juga, ibunya datang menemui Nabi s.a.w. lantas berkata kepadanya : “Ini adalah Anas, anak yang pandai dan akan menjadi pembantumu”. Selepas beberapa tahun bersama Nabi, baginda menggelarkan Anas Abu Hamzah (Singa).
Anas dilahirkan 10 tahun sebelum Hijrah atau bertepatan dengan tahun 612 Masihi. Ketika baginda Rasulullah wafat, Anas baru sahaja berusia 20 tahun dan beliau memeluk Islam sejak daripada kecil lagi.
Keilmuan dan Periwayatan Hadis.
Walaupun beliau seorang hartawan, namun segala peranan beliau dalam kehidupan lebih banyak menjurus kepada perjuangan dan kepentingan Islam. Beliau adalah seorang Mufti, Qari, Muhaddith dan Perawi Islam. Beliau banyak menuntut ilmu dengan Rasulullah s.a.w. secara langsung bersama dengan Abu Bakar, Umar, Usman, Mu’ad, Usaid Al Hudair, Abi Tholhah, Ibunya sendiri Ummu Sulaim putri Milhan dan Bibinya Ummu Haram juga suaminya Ubadah bin Shamit, Abu Dzar, Malik bin Sha’sha’ah, Abi Hurairah, Fatimah dan banyak lagi. Beliau mempelajari ilmu perniagaan secara terus daripada Rasulullah s.a.w.
Anas juga turut mendidik individu penting yang di antaranya adalah Al Hasan, Ibnu Sirin, Asy Sya’bi, Abu Kilabah, Makhul, Umar bin Abdul Aziz, Tsabit Al Banani, Bakar bin Abdillah Al Mazani, Az Zuhri, Qotadah, Ibnul Munkadir, Ishak bin Abdillah bin Abi Tholhah, Abdul Aziz bin Shuhaib, Syuaib bin Al Habhab, Amru bin Amir al Kufi, Sulaiman At Taimi, Hamid At Thowil, Yahya bin Sa’id Al Ansori, Katsir bin Salim, Isa bin Thohman dan Umar bin Syakir.
Setiapkali Anas berbicara mengenai hadis Rasulullah s.a.w. dan apabila telah selesai bicaranya, maka beliau akan berkata : “Sebagaimana yang dikatakan Rasulullah”. Musnad Anas sebanyak 2,286 buah Hadis, yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim sebanyak 180 hadis, dan yang hanya dalam riwayat Bukhari sebanyak 80 hadis dan Muslim 90 hadis.
Doa Nabi terhadap Anas.

Ketika ibunya datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata : “Wahai Rasulullah, ini adalah Anas, anak yang bijak dan cerdas untuk membantumu” lantas Anas diserahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda kemudian menerimanya. Ibunya lalu memohon kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendoakan Anas, maka Nabi pun berdoa untuknya.
“Ya Allah! perbanyakkanlah anak dan hartanya, serta masukkanlah dia ke dalam syurga.” Dalam riwayat lain, “Ya Allah perbanyakkanlah harta dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan ampunilah dosanya”.
Anas berkata, “Demi Allah hartaku sangat melimpah, sampai kurma dan anggurku berbuah dua kali dalam setahun. Jumlah anak-anak dan cucuk-cucuku mencapai seratus.” dalam riwayat lain seratus enam. Berkat doa Rasulullah s.a.w. maka Anas menjadi sahabat yang paling banyak anaknya serta paling panjang umurnya.
Penjaga Rahsia Rasulullah saw.
Suatu hari Anas melayani Rasulullah s.a.w. sehingga selesai dan kemudian berkata : “Nabi sedang tidur siang,” selepas itu beliau pun pergi dan mendapati anak-anaknya sedang bermain. Beliau berdiri dan melihat mereka bermain. Tiba-tiba Nabi datang, dan memberi salam kepada mereka. Terus memanggil Anas dan mengutusnya untuk suatu urusan. Sepertinya ini adalah perintah rahsia, hingga beliau mendatangi ibunya dengan perlahan. Ibunya bertanya “Ada apa denganmu?” Anas menjawab, “Nabi mengutusku untuk suatu urusan. Ibunya bertanya lagi, “Urusan apa itu?” Anas menjawab, “Ini adalah rahsia Nabi”. Maka ibunya berkata, “Jagalah rahsia Rasulullah”. Maka Anas tidak menceritakannya kepada sesiapa pun.
Akhlak Rasulullah s.a.w. terhadap Anas bin Malik.
Pada suatu hari Rasulullah mengutus Anas untuk suatu hajat, kemudian beliau berkata, “Demi Allah saya akan pergi!” Dalam hatiku aku akan pergi kalau Nabi menyuruhku. Kemudian beliau pun pergi dan melintasi kanak-kanak yang sedang bermain di pasar. Beliau yang masih remaja ketika itu, turut terleka bermain sekali. Tiba-tiba Rasulullah datang memegang tengkuknya dari belakang. Kemudian beliau melihat kepada baginda Rasul, ternyata baginda tersenyum sambil berkata, “Wahai Unais, pergilah selesaikan apa yang aku perintahkan!” Maka Anas menjawab : “Baik Rasulullah, saya akan pergi”. Anas berkata lagi “Demi Allah aku telah menjadi pembantu baginda selama 9 tahun, aku tidak pernah mendapat komen tentang apa yang aku kerjakan”, “Kenapa kamu berbuat seperti ini dan begini?” Atau sesuatu yang aku tinggalkan, “Kenapa kamu tidak berbuat seperti ini?”
Anas telah menjadi pembantu Rasulullah s.a.w. bertahun-tahun lamanya, tetapi baginda tidak pernah mencelanya sama sekali, tidak pernah memukul, tidak pernah mengherdik, tidak pernah bermuka masam, tidak pernah menyuruhnya dan sekiranya malas Rasulullah tidak mencelanya. Maka jika salah satu keluarganya mencelanya, beliau berkata, “Biarkanlah apa yang dia kerjakan!”
Tsabit bertanya kepada Anas “Apakah tanganmu pernah bersentuhan dengan telapak tangan Rasulullah s.a.w.? Anas menjawab, Ya, pernah! Baginda menghulurkannya padaku, dan aku pula menyambutnya
.
Karamah Anas
Ibnu Abi Dunya berkata : “Ketika Tsabit sedang bersama Anas, tiba-tiba datang Qohromanah dan berkata, “Wahai Abu Hamzah, telah datang musim kemarau, sehingga tanah kami kering”. Kemudian Anas terus berdiri dan mengambil air wudhu, lalu keluar menuju tanah tadi dan melakukan solat sebanyak 2 rakaat. Setelah itu beliau berdoa. Maka tiba-tiba awan pun mendung dan turunlah hujan, sehingga airnya melimpah-limpah. Ketika hujan reda, Anas memanggil sebahagian keluarganya dan berkata, “Lihatlah langit itu”. Maka setelah itu tanahnya menjadi subur.
Menurut catatan, Anas memang sangat kaya, mempunyai ramai anak ( 120 orang ). umur beliau ketika wafat ialah 104 tahun dan beliau telah meriwayatkan sebanyak 2200 hadis Nabi s.a.w.
No comments:
Post a Comment