Anda Gagal Wang!

Bertemu kembali kita di ruang Wang Anda! Pada minggu pertama, kita tahu bahawa kita perlu berfikir positif mengenai wang. Minggu lepas pula saya menulis tentang pentingnya mempunyai matlamat kewangan. Tetapi, mengapa kita masih gagal dalam kewangan?
Jawapannya adalah, kita gagal mempunyai strategi kewangan yang berkesan. Bayangkan seperti sebuah singki, yang mempunyai pili dan juga lubang di dasarnya untuk mengalirkan air keluar. Apabila air mengalir dari pili tersebut, dan lubang di dasar singki tidak tutup, maka, pastinya tiada air yang bertakung.
Seperti kewangan kita juga, tidak kira berapa banyak wang mengalir kepada kita, melalui gaji, atau pendapatan perniagaan, sekiranya terdapat kebocoran dari segi perbelanjaan, hujung bulan, pastinya kering kontang juga simpanan kita. Maka, kita akan gagal dalam kewangan.
gagalwang
Untuk berjaya dalam kewangan, hanya terdapat dua cara sahaja iaitu menambahkan pendapatan  dan mengurangkan perbelanjaan. Kekayaan bukan bermaksud berapa banyak gaji kita, atau pendapatan kita. Tetapi, kekayaan dikira sebagai berapa banyak kita berjaya menyimpan. Gaji dan pendapatan tinggi, tetapi belanja tinggi dan hutang keliling pinggang, tak kaya namanya tu. Itu adalah gagal kewangan.
Untuk berjaya kewangan, kita perlu terlebih dahulu menguasai wang yang keluar dari poket kita. Dan cara untuk menguasai wang kita adalah dengan mengetahui ke mana setiap sen perginya wang tersebut… ya, setiap sen!
Ianya amat mudah apabila tiba hujung bulan, kita tak sedar dan terlupa ke mana perginya wang kita. Apa yang saya dan ramai pakar-pakar kewangan nasihatkan adalah untuk menjejak setiap kali kita berbelanja. Tidak kira, sama ada kita hendak mencatit setiap perbelanjaan kita di dalam buku 555, ataupun pada zaman serba canggih hari ini, berbagai-bagai aplikasi smartphone yang membolehkan kita merakam setiap perbelanjaan harian kita. Aplikasi android atau iphone percuma, Expense Manager adalah salah satu daripadanya.
Amalkan meminta resit atas setiap transaksi belian yang kita lakukan, walaupun transaksi yang kecil dari bayaran tol, sehingga ke belian yang lebih besar. Setiap malam, kumpul semula semua resit yang dikutip pada hari tersebut, dan rakamkan setiap transaksi wang yang keluar.
Ianya dikatakan, mereka yang berjaya dalam kewangan mengambil masa lebih sejam setiap minggu merujuk dan menjejak keadaan kewangan mereka. Dengan meluangkan sedikit masa setiap hari, walaupun 10 minit untuk menjejak setiap transaksi wang kita, ia merupakan langkah pertama untuk berjaya dalam kewangan.
Kata confucious, sekiranya aku dengar, aku lupa. Sekiranya aku lihat, aku ingat. Sekiranya aku buat, aku faham. Latihan untuk anda mulai hari ini dan minggu-minggu akan datang adalah, amalkan tabiat menjejak dan merakam kewangan harian anda.
Apabila anda lakukan, anda akan faham tentang kewangan anda dan menyediakan diri anda untuk lebih berjaya dalam kewangan anda. Sehingga kita berjumpa di minggu hadapan, dengan strategi mengurangkan perbelanjaan anda- Wang anda, kuasa anda!
~Irfan Khairi
Soalan pembaca:
Zaidi Reza, Kuala Lumpur:IK, saya dapati sukar untuk menyimpan wang. Setiap bulan, pasti habis wang gaji dibelanjakan sehingga simpanan saya hampir tiada! Apakah tip untuk menyimpan wang?
Gunakan wang kertas dan simpan wang syiling. Setiap hari apabila anda berbelanja, apa kata anda hanya menggunakan wang kertas sahaja. Jangan disentuh wang syiling. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membayar nasi lemak dan kopi untuk sarapan pagi berharga RM4.20, bayar dengan wang kertas RM5 atau RM10. Baki syiling 80sen yang anda terima, jangan dibelanjakan! Walaupun sekiranya kemudian anda membayar tol RM1.80, bayar menggunakan wang kertas RM2 dan jangan di sentuh 80sen dalam poket anda. Kini, anda mendapat 20sen wang syiling pula.
gagalwang2
Setiap hari, simpan kesemua wang syiling anda ke dalam bekas atau tabung anda. Teknik membelanjakan wang kertas sahaja ini bunyinya agak mudah, tetapi, apa yang anda akan dapat adalah, berpuluh-puluh ringgit wang simpanan pada hujung setiap bulan. Dan ini akan menjadi beratus-ratus simpanan stiap tahun. Lebih baik dari tiada!
Rosnita Hashim, SelangorIrfan, Apakah cara terbaik untuk bajet wang kita supaya kita lebih mudah menyimpan?
Sering kali di kursus kewangan yang saya kendalikan, ramai mengeluh bahawa sukar untuk menyimpan wang gaji setiap bulan dan sukar untuk menyediakan bajet bulanan. Nasihat saya adalah, amalkan kaedah “bayar diri sendiri” terlebih dahulu.
Kaedah ini menkehendaki anda membayar diri anda terlebih dahulu, dengan cara menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda setiap bulan ke akaun simpanan anda. Ertinya, sekiranya pendapatan anda adalah RM2,000 sebulan, terlebih dahulu apabila menerima gaji, simpan RM200 sekurang-kurangnya ke akaun simpanan anda yang berasingan. Ini adalah kaedah membayar diri sendiri terlebih dahulu.
Baki RM1,800 adalah untuk anda bajet perbelanjaan bulanan anda yang lain. Dengan cara ini, apa sahaja anda belanjakan, anda telah menjamin simpanan 10% terlebih dahulu yang tidak disentuh- kaedah bajet paling mudah!
@irfankhairi.com/blog

No comments:

Post a Comment