
Jika wajah kita ingin sentiasa kelihatan cantik dan menawan setiap masa, begitu juga dengan hati. Ianya perlu dijaga seelok-eloknya, agar senantiasa jernih, bersih serta tidak berkarat dan hitam. Hati yang terjaga dengan baik tidak akan terhijab walau sedikit pun jika ia selalu digilap dengan sifat-sifat mazmumah di dalam diri. Jauhkan diri daripada perasaan buruk sangka, hasad dengki, iri hati, khianat mengkhianati, benci-membenci dan sebagainya.
Sebaliknya tanam dan suburkanlah sifat-sifat yang baik agar hidup sentiasa tenang dan tenteram supaya kehidupan menjadi lebih indah, bahagia dan sejahtera setiap masa.
Dengan itu, apabila hati dijaga dengan elok, maka keseluruhannya akan menjadi baik dan sempurna kerana di hatilah terpancar cahaya keimanan dan ketaqwaan yang terpamer di wajah seseorang insan. Ini disebabkan “Hati” adalah sarang segala bentuk kebaikan mahupun kejahatan.
Perkara paling utama untuk menjaga hati ialah dengan menentukan sumber rezeki yang menjadi darah daging kita setiap hari melalui pemakanan dan sumber rezeki yang diperolehi sama ada halal, haram atau syubahah.
Jangan mengambil hak orang lain (terutama harta anak-anak yatim).
Disebabkan terlalu memburu kesenangan dan kemewahan duniawi, manusia hari ini sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasrat dan impian masing-masing tanpa mengira apa pun, walau terpaksa menindas dan mengambil hak orang lain, asalkan kemewahan dapat diraih dengan mudah dan hajat hati tercapai. Ramai yang gemar mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kekurangan insan lain. Ini amat-amat dikesali dan tidak wajar berlaku dalam kehidupan yang berlandaskan Islam dan juga masyarakat kita amnya.
Di dalam surah An-Nisa’ ayat 2 Allah SWT berfirman : “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah dewasa) harta mereka, janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) bersama harta kamu. Sesungguhnya (tindakan menukar dan memakan) itu adalah dosa besar.” (An-Nisa’ : Ayat 2)
Sering terjadi perkara seumpama ini ialah apabila orang yang diamanahkan untuk menjaga harta anak-anak yatim itu seorang yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah maka, dia akan mengambilnya dengan jalan yang salah, zalim dan tanpa pengetahuan anak-anak yatim tersebut, sedangkan hakikatnya mereka tidak berhak untuk berbuat demikian walaupun sebagai penjaganya.
Ini amat bersalahan dan bertentangan serta berdosa besar. Allah melaknat perbuatan tersebut kerana terdapat banyak hadis-hadis dan Firman-Firman Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis yang melarang keras perbuatan tersebut serta menjelaskan mengenai larangan-larangan dan seksaan-seksaan bagi sipemakan harta anak-anak yatim itu contohnya seperti :
Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ juga ayat 10 yang bermaksud : “Sesungguhnya Orang yang memakan harta anak yatim secara zalim sebenarnya mereka itu menelan api neraka dalam perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah An-Nisa’ : Ayat 10).
Takutlah kepada kemurkaan Allah SWT.
Janganlah kerana terlalu ghairah untuk menjadi insan yang berjaya, khususnya dalam dunia perniagaan atau apa sekalipun, kita sanggup mengenepikan segala hukum-hakam yang telah ditentukan dan bertindak rakus jua gelojoh, sehinggakan tidak menunaikan kewajipan kita terhadap hak dan kepentingan orang lain, yang berada di tangan kita akibat sifat tamak yang menebal dalam diri, dan terlalu memburu kekayaan dan kemewahan yang boleh menggelapkan mata kita kepada kebenaran.
Ingatlah bahawa setiap rezeki yang kita makan itu akan menentukan pembentukan hati, jiwa dan sikap kita dalam menuju keredhaan Ilahi. Jangan sesekali suburkan jasad dan hati kita dengan sesuatu yang haram, lantaran ini amat merugikan kehidupan kita di hari muka. Jagalah sumber rezeki yang diperolehi agar ia mampu menyelamatkan diri kita dari cengkaman api neraka di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis Riwayat : At-Tarmizi).
Daripada hadis di atas, jelas dan ketara bahawa proses untuk mendapatkan rezeki yang halal dan diberkati itu sangatlah penting bagi menentukan pembentukan hati nurani kita, jiwa kita dan seterusnya perjalanan hidup kita sama ada langkah kita itu ke syurga atau ke neraka.
Jadilah pekerja/peniaga yang beriman.

Jadilah hamba Allah yang baik dan taat, agar setiap langkah kita mencari rezeki saban hari akan lebih diberkati, diredhai dan membawa kita lebih dekat dan rapat kepada-Nya, apabila kehidupan kita dalam keberkatan sepanjang masa.
Tidak rugi kita melapangkan sedikit waktu untuk mengucapkan rasa syukur tanda terima kasih sebagai hamba yang berbakti kepada-Nya. Dengan mensyukuri segala nikmat yang dilimpahkan kepada kita setiap hari, dengan hanya mengambil masa tidak sampai beberapa minit untuk menjatuhkan dahi di tikar sejadah, bersujud dan berdoa di atas segala kurniaan nikmat daripada-Nya, sama ada banyak ataupun sedikit. Ini kerana, DIAlah yang Maha Pemberi dan pembuka pintu-pintu rezeki kepada kita. Itu pun seandainya kita tahu dan mahu bersyukur serta menghargai setiap pemberian-Nya. In Shaa Allah.
PERINGATAN
- Berniagalah dengan mengeluarkan modal hasil titik peluh sendiri.
- Jangan mengambil hak insan lain demi untuk mencapai tujuan peribadi.
- Elakkan daripada mengambil dan memakan harta anak-anak yatim.
- Kembalikan hak orang lain yang bukan menjadi hak milik kita.
- Jangan suka menindas dan menipu golongan yang lemah.
- Jangan menjadi manusia yang kejam dan zalim dengan merampas hak insan lain.
- Allah melapangkan rezeki bagi setiap peniaga yang jujur , ikhlas dan amanah.
- Jangan bakhil dan kedekut untuk bersedekah, berzakat.
- Sucikan hati dan jiwa dengan mencari harta dan pendapatan yang halal.
- Dari rezeki yang halal, salurkanlah kepada sumber yang baik-baik.
No comments:
Post a Comment