“Masa” memainkan peranan yang amat penting dalam mengumpul dan mengembangkan wang kita. Lebih banyak masa yang kita ada, lebih besar wang dapat mengembang. Ertinya, lebih awal anda sedar dan ambil tindakan memperbaiki keadaan kewangan anda, maka lebih banyak masa untuk wang anda bertambah dan terus bertambah.
Mari kita lihat dua beradik kembar Lili dan Didi. Lili berumur 25 tahun dan merupakan pembaca tegar Majalah Metro, ruang WANG ANDA. Lili sedar betapa pentingnya menjaga kewangan dan mula menyimpan pada usia yang muda. Setiap bulan tanpa terlepas, Lili menyimpan dan melabur RM400 ke akaun pelaburan yang memberi pulangan pelaburan 12% setahun. Sekiranya kita melihat 20 tahun akan datang, simpanan Lili dalam akaun pelaburannya telah menjadi RM345,800. Ketika itu, Lili berumur 45 tahun.
Didi pula, agak terlewat menyedari tentang pentingnya menjaga kewangan. Didi hanya mula menyimpan dan melabur ketika berumur 30 tahun- lewat 5 tahun selepas Lili. Oleh kerana pendapatan Didi tinggi sedikit, Didi boleh menyimpan RM700 setiap bulan dan dilaburkan pada akaun pelaburan yang sama memberi 12% pulangan pelaburan. Apabila Didi mencapai umur 45 tahun, jumlah simpanan Didi telah menjadi RM313,100.
Adakah anda dapat lihat perbezaannya? Walaupun Lili menyimpan hanya RM400 sebulan, manakala kembarnya Didi menyimpan RM700 sebulan, oleh kerana Lili mula menyimpan 5 tahun lebih awal, jumlah yang dimiliki adalah lebih tinggi lagi apabila keduanya berumur 45 tahun walaupun simpanan bulanannya adalah jauh kurang.
Masa memainkan peranan yang amat penting dalam pulangan pelaburan. Lebih lama wang disimpan dan dibiarkan mengembang oleh pulangan pelaburan, kenaikannya akan menjadi mendadak. Konsep ini dikenali sebagai pulangan kompaun (compound returns).
Albert Einstein pernah menyebut, pulangan kompaun sebagai “ciptaan terhebat dalam metamatik”. Ertinya adalah, pulangan yang diterima daripada pelaburan yang dilakukan, dilaburkan semula untuk tahun yang akan datang. Dan pulangan daripada jumlah keseluruhan tersebut, dilaburkan semula untuk tahun seterusnya. Apa yang akan terjadi adalah, wang simpanan kita akan berkembang secara eksponen.
Cara lebih mudah menjelaskan keadaan ini adalah bayangkan kisah kartun Tom & Jerry, di mana Tom (kucing) sedang bergaduh dengan Jerry (tikus) di kawasan puncak bukit yang dipenuhi salji. Tom menolak Jerry di cerun bukit tersebut, lalu, Jerry berguling dan diliputi salji menurun bukit tersebut. Lagi jauh Jerry berguling ke bawah, lagi besar diliputi salji, sehingga menjadi bebola salji gergasi merempuh Tom kembali!
Pastinya anda pernah dengar istilah “yang kaya semakin kaya” bukan? Antara sebabnya adalah, mereka yang kaya, faham tentang konsep pulangan kompaun ini. Sekiranya sejumlah wang dilaburkan pada pulangan 10% setahun, dan jangan diusik selama 7 tahun, wang tersebut akan berganda dua! Ertinya, sekiranya seorang jutawan memiliki RM1,000,000 yang tidak disentuh, dan diberi pulangan pelaburan 10% setahun selama 7 tahun. Wangnya akan menjadi RM2,000,000- tanpa perlu melakukan apa kerja sekali pun!Kesan ini dikenali sebagai “snow-ball effect” di mana, bebola salji mengumpul lebih banyak salji dan membesar. Begitu juga dengan wang kita yang akan mengumpul lebih banyak wang melalui pulangan pelaburan yang semakin lama, semakin besar!
Tidak kira, jutawan atau tidak, pulangan kompaun ini akan terjadi pada sesiapa sahaja yang memahaminya. Dan lebih banyak masa yang diberikan, lebih besar wang kita akan berkembang. Lebih awal anda menyedari hakikat ini, maka, lebih baik untuk anda mulakan sekarang! – Wang anda, kuasa anda! ~Irfan Khairi
Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb
Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb
Nadirah Faeez, Melaka:Salam Irfan Khairi, saya amat minat dengan ruangan WANG ANDA Majalah Metro dan tidak terlepas mengikutinya setiap minggu. Soalan saya, dimanakah tempat terbaik untuk melaburkan wang kita?
Terima kasih atas soalan Nadirah dan sokongan kepada Majalah Metro. Pastikan teruskan sokongan anda!
Hari ini, berbagai-bagai peluang pelaburan yang diberikan oleh pelbagai pihak dan adakalanya membuatkan kita keliru manakah tempat terbaik melabur wang kita. Pertama sekali, pastikan anda tidak melaburkan wang anda pada skim-skim pelaburan yang haram dan skim cepat kaya. Walaupun seperti sesuatu yang tidak perlu dinasihatan lagi, tetapi malangnya masih ramai yang tertipu dan terperangkap dalam skim pelaburan sebegini. Apa yang terjadi adalah, bukan sahaja wang akan lesap, tetapi juga kita kerugian masa yang telah kita ambil mengumpul wang tersebut. Oleh itu, berhati-hati apabila melaburkan wang anda dan melabur hanya pada institusi kewangan yang sah.
Satu pilihan baik untuk melabur adalah melalui dana bersama (mutual funds) yang banyak diberikan oleh institusi-institusi kewangan. Melalui dana bersama, anda umpama mempunyai akses kepada pengurusan wang dan pengurusan pelaburan profesional institusi kewangan menguruskan pelaburan anda. Ini akan mengurangkan risiko dan memudahkan proses pelaburan wang anda.
Terdapat berbagai-bagai dana bersama yang anda boleh dapati melalui bank anda. Nasihat saya, langkah pertama adalah dapatkan brocur-brocur dana bersama ini di bank berhampiran anda- ya lakukan hari ini oleh kerana lebih awal anda mulakan, lebih tinggi pulangan anda seperti artikel saya kali ini!
Baca dan fahami setiap brocur dan dapatkan nasihat dan pandangan konsultan kewangan di bank anda yang pastinya sedia membantu. Setiap jenis dana bersama mempunyai ciri-ciri dan manfaat berbeza oleh itu, berdasarkan bacaan dan pemahaman anda, anda boleh lakukan keputusan pelaburan anda sendiri.
No comments:
Post a Comment