Nama asal Abdul Rahman sebelum beliau memeluk Islam ialah Abdul Ka’abah, tetapi setelah memeluk Islam beliau menukar namanya kepada Abdul Rahman. Abdul Rahman Bin Auf telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w memasuki Darul Arqam lagi.
Adalah diriwayatkan, ibu kepada Abdul Rahman Bin Auf sesudah mengetahui beliau memeluk Islam, telah berkata kepada anaknya,
“Aku akan berjemur di panas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu malam yang sejuk, aku akan bermalam di ruang lapang, hinggalah engkau mengaku akan kembali semula kepada agama nenek moyangmu!”
Demikian ibunya mengugut. Namun, Abdul Rahman Bin Auf tetap nekad untuk memeluk agama Islam yang syumul. Seterusnya, beliau sebagai seorang sahabat Rasulullah yang akrab, Abdul Rahman mempunyai satu keistimewaan yang khas iaitu berjuang untuk menegakkan agama Allah bukan saja dengan pedangnya bahkan dengan harta dan kekayaannya juga. Beliaulah antara para sahabat yang banyak sekali mengorbankan kekayaannya untuk memperjuangkan kepentingan Islam.
Bukan itu sahaja, beliau adalah antara orang yang terkaya pada ketika itu, ini kerana beliau bijak berniaga. Antara pendekatan yang beliau ambil sewaktu berniaga ialah :
- Pengurusan ekonomi berasaskan kebajikan

Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya :
“Abdul Rahman bin Auf telah bersedekah di zaman Rasulullah saw. Setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah SWT. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah SWT. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya.”
Antara pendekatan lain yang menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya adalah, sifat amanahnya yang patut kita jadikan contoh. Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya, banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah.
Rasulullah s.a.w. pernah menyebut :
- “Engkau adalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi.”
- “Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya.”
- Beliau juga mempunyai semangat jati diri yang kental, yang
membolehkan beliau menghadapi segala aral melintang. Beliau telah
dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w dengan Saad Ibnu Rabi’e seorang
bangsawan dan jutawan Madinah (Al-Ansar). Namun beliau tidak mengambil
kesempatan dan peluang untuk membolot harta kekayaan saudaranya
sekalipun beliau mendapat tawaran lumayan termasuklah memilih salah
seorang daripada isteri saudaranya.
Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya di mana terletaknya pasar untuk beliau memulakan perniagaan dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih. Sungguh beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap masa, beliau berjaya menunjukkan kehebatannya dalam berdagang hingga berjaya memperolehi harta yang banyak. Beliau mempunyai 100 ekor kuda yang dapat dipergunakan dalam peperangan, 100 ekor unta, dan 10,000 ekor kambing sehingga diwaktu beliau meninggal, tatkala dihitung seperempat daripada kekayaannya, menyamai jumlah 84 ribu dinar.
Akan tetapi di samping kekayaannya yang melimpah, beliau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah juga merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin. Malah, beliau juga seorang yang berdikari dan tidak suka bergantung kepada orang lain sehingga beliau menjadi peniaga yang disegani. Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdul Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang. Sabda Rasulullah saw :
- “Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri.” – Riwayat Bukhari
Renungi ungkapan ulama’ sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani :
- “Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah sesuatu yang keji.”
Sesungguhnya Mas’ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasul dan sewaktu meninggal dunia ia tidak memiliki walau sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Muttalib juga adalah manusia yang lebih utama daripada saya, padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Saya khuatir saya ini termasuk di antara orang yang dipercepat untuk menikmati kebahagiaan dunia dan saya khuatir akan tersisih daripada para sahabat Nabi di akhirat kelak disebabkan mempunyai banyak harta.
Inilah antara sifat-sifat yang patut dijadikan teladan oleh setiap orang yang inginkan kejayaan, di dunia mahupun akhirat.
5 CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA

- Sifat yang amanah dalam melakukan semua pekerjaan.
- Peribadi yang soleh dan taat pada perintah Allah.
- Harus mempunyai semangat jati diri yang kental.
- Seorang yang berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.
- Tidak terlalu kebendaan, dan rakus mengejar kekayaan.
No comments:
Post a Comment