Wang bukan segalanya!

Saya pernah dengar seseorang meluahkan “Wang bukan segala-galanya , tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Ada betulnya juga kenyataan itu. Sememangnya kita tidak mahu menjadi seorang yang materialistik dan mata duitan, tetapi, tidak dinafikan, wang memainkan peranan yang amat penting dalam hidup seharian kita.
Minggu lepas saya telah kongsikan mengenai persepsi negatif dalam diri kita sendiri terhadap wang mengakibatkan kita sendiri “takut” dengan wang, takut berbincang mengenai wang dan sehingga takut menjana wang yang berlebihan.  Sehingga perkataan “berlebihan” itu sendiri sahaja memberi gambaran yang negatif!
money-sky.jpgBagaimana caranya menangani ini? Caranya dengan mengenali wang kita. Bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Bila kita kenal wang, maka kita akan cinta wang. Kita akan lebih mengenali wang apabila kita mempelajari teknik dan juga strategi kewangan untuk diaplikasikan pada diri sendiri.
Kebanyakan teknik dan strategi wang adalah mudah. Setiap minggu saya akan bersama anda di ruang Wang Anda di Malajah M memberi strategi, teknik dan tip kewangan yang praktikal!
Ramai antara kita, tidak mempunyai strategi dan matlamat kewangan. Sama ada matlamat kewangan kita jangka pendek, seperti apakah sasaran kewangan kita pada tahun ini? Sehingga matlamat yang lebih panjang seperti sasaran kewangan kita 20 tahun akan datang.
Ada juga yang mengatakan, prioriti utama hidup bukanlah pada wang, atau matlamat hidup bukan mengejar wang. Saya amat hargai konsep tersebut, tetapi,  walaupun ia bukan prioriti utama, wang tetap memainkan peranan dalam hidup anda. Oleh itu, mengetahui strategi kewangan pastinya dapat membantu gaya hidup kita. 
Jadi, persoalannya adalah apakah matlamat kewangan anda? Apabila kita mempunya matlamat kewangan, ia akan memudahkan kita menghasilkan strategi untuk mencapai matlamat tersebut. Bayangkan perlawanan bola sepak tanpa tiang gol. Pastinya tidak ke mana perlawanan tersebut kerana tiada sasaran. Jurulatih juga tidak tahu cara menyusun strategi untuk menang bila tiada tiang gol.
Pelbagai strategi yang kita perlu pelajari mengenai wang seperti cara menjana wang, cara melabur wang, cara menggunakan wang untuk dapatkan wang, cara kongsi dan sedekahkan wang kita dan sebagainya supaya hidup kita lebih bermakna dan kita dapat rasa bahagia dalam jiwa.
Dimanakah anda lihat keadaan kewangan anda pada hujung bulan ini? Atau 6 bulan akan datang? Atau tahun hadapan? Adakah anda berpuas hati dengan keadaan atau anda ingin meletakkan matlamat kewangan yang lebih tinggi?
jadual.jpg
Bagaimana pula gambaran kewangan anda 3 tahun akan datang? Atau 5 tahun akan datang? Atau 10 tahun akan datang? Adakah anda melihat diri anda seperti keadaan sekarang, atau ingin melihat diri anda mempunyai progres yang berlipat kali ganda dan mengubah keadaan kewangan kearah yang jauh lebih baik?
Semua ini memerlukan strategi dan strategi bermula dengan matlamat anda hari ini. Ambil pen dan kertas, tuliskan matlamat kewangan anda. Apakah matlamat kewangan jangka pendek anda, dan apakah matlamat jangka panjang anda.
98% dari orang dewasa tidak mempunyai matlamat kewangan. Jangan jadikan anda sebahagian dari statistik ini oleh kerana mereka yang berjaya dalam kewangan adalah mereka yang mempunyai matlamat dan strategi mencapai matlamat tersebut. Jumpa anda minggu hadapan ““ wang anda, kuasa anda!
@irfankahairi.com/blog

No comments:

Post a Comment