Rezeki Biar Berkat

Alangkah cantiknya Islam apabila meletakkan pencarian rezeki yang halal itu ialah satu ibadah. Malah setiap apa yang kita lakukan dan laksanakan jika ianya didasarkan dengan niat yang tulus ikhlas serta hati yang jujur dan bersih, semuanya juga akan dinilai sebagai satu ibadah.

rezeki berkat
Mencari rezeki yang halal amat dituntut oleh syariat sebenarnya. Lebih-lebih lagi jika kita mengusahakan perniagaan. Pendapatan dan rezeki dari perniagaan kita itu, mestilah yang halal!

Agar, setiap tapak kaki yang melangkah keluar dari rumah dengan niat memberi nafkah kepada anak-anak, isteri dan keluarga, diberkati yang Maha Esa. Mencari rezeki halal melalui perniagaan, secara tidak langsung, membuka langkah ke arah pahala yang tak ternilai besarnya.

Seperti yang kita sedia maklum punca rezeki besar, ialah datangnya dari jalan perniagaan :

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “9/10 daripada rezeki itu adalah datangnya dari perniagaan.” [Hadis Riwayat Tirmizi].

Jadi, ini jelas membuktikan bahawa bidang perniagaan bukan sahaja mampu untuk menjana dan memantapkan ekonomi keluarga malah ia juga dapat menyediakan ruang dan peluang pekerjaan yang khusus bagi membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berupaya agar gejala kemiskinan dapat diatasi dan dikurangkan.

Namun dalam waktu yang sama kita seharusnya mencari punca rezeki yang berkat. Jangan hanya kerana mahu kaya, kita terkejar-kejar mencari keuntungan yang bertentangan dengan syariat Islam. Berlaku jujur dalam berniaga amatlah penting kerana perniagaan yang penuh dengan sifat kejujuran dapat mengubah perspektif masyarakat terhadap kita dan memberi corak hidup berbeza dan lebih diberkati.

Berikan usaha yang gigih dan biarlah kita bersusah payah sedikit serta berdikari dengan hasil titik peluh sendiri asalkan perniagaan yang kita ceburi itu jujur, halal dan diberkati Tuhan.

JUJUR DALAM BERNIAGA 

Setiap peniaga tentu mengimpikan keuntungan yang banyak dan berlipat ganda hasil dari apa yang diniagakan. Namun harus diingatkan, di dalam keghairahan peniaga-peniaga mencari untung yang lebih banyak, janganlah pula melakukan penipuan dalam sukatan dan timbangan.

Allah SWT telah berfirman di dalam  surah Al-Mutaffifin ayat 1-3,
mahfumnya : “kecelakaan yang besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau mereka menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Maksud menipu dalam sukatan dan timbangan di sini adalah sangat meluas sebenarnya. Ia meliputi – Menindas para pengguna dengan barangan-barangan yang tidak berkualiti untuk mengaut keuntungan yang terlalu banyak. Memperdaya rakan kongsi perniagaan bersama. Menipu dalam projek kononnya besar dan menguntungkan tetapi tidak. Mengambil komisyen secara berlebih-lebihan tanpa dipersetujui pihak pengurusan. Menggunakan wang syarikat dan berbagai-bagai lagi cara penyelewengan.

Semua ini adalah amat dicela, keji dan dilarang keras di dalam mana-mana agama sekalipun. Jika tidak ada sikap jujur dan amanah dalam diri, maka  ia akan merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap peniaga itu sendiri dan paling merugikan bakal menutup pintu rezeki akan datang. Jadi, dalam apa jua aspek kehidupan ini, tak kira apa pun yang ingin kita lakukan kita perlu bersikap jujur dan amanah apatah lagi dalam urusan mencari rezeki yang berkat dan halal.

Jangan sesekali bersikap tamak dan khianat kerana setiap insan telah ditentukan oleh Allah rezeki masing-masing dengan mengikut kadar apa yang telah mereka usaha dan kerjakan. Jadi, mencari rezeki itu biarlah berkat, barulah selamat dunia dan akhirat.

berniaga cara islam
Tip berniaga dalam Islam
  • Berniagalah dengan amanah dan jangan sekali-kali cuba menipu dalam sukatan dan timbangan, barulah perniagaan itu kekal dan berkat.
  • Sentiasalah membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik kerana amalan itu tidaklah mengurangi walau sedikit pun harta yang ada sebaliknya semakin berkembang dan bertambah keberkatannya.
  • Perniagaan mendidik diri kita agar menjadi insan yang sabar, redha, tabah, jujur dan cekal. Dari sini, kita akan lebih bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang dilimpahkan.
@irfankhairi.com/blog

No comments:

Post a Comment